Khamis, 9 Mei 2019

KERAJAAN BARU PAKATAN HARAPAN KERAJAAN SEPENGGAL


CATITAN sejarah membuktikan jika pilihanraya kecil diadakan lazimnya parti kerajaan yang memerintah akan  menang. Namun tiga pilihanraya kecil yang terkebelakang ini nampaknya parti yang mewakili Kerajaan Pakatan Harapan kalah.

Bermula dengan kerusi Cameron Highland calon  Pakatan Harapan yang diwakili oleh DAP tersungkur ditangan calon UMNO yang mewakili BN dan barisan pembangkang. Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti agak besar iaitu 3,238 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini berbanding dalam pilihanraya umum lalu BN yang diwakili Datuk C.Sivarajah menang hanya dengan 597 undi.
Ahli Parlimen Cameron Highlands  Ramli Mohd Nor 

DAP telah mempetaruhkan calon yang kalah dalam pilihanraya umum lalu M. Manogaran bagi mewakili Pakatan Harapan hanya mendapat 8,800. M. Manogaran sebelum ini memperolehi 9,710 undi, berkurangan 910 undi. Namun jika beliau mengekalkan jumlah undi dalam pilihanraya umum yang lalu tetap tidak dapat mengatasi calon BN yang memperolihi 12,038 undi.

Sementara dalam pilihanraya kecil DUN Semenyih Pakatan Harapan  diwakili oleh BERSATU juga  tumbang. BERSATU mencalonkan Muhammad Aiman Zainali yang mendapat sebanyak 17,866 undi, berbanding dalam PRU-14 yang lalu dimana Pakatan Harapan memperolehi 23,428.
Zakaria Hanafi ADUN Semenyih 

Pakatan Harapan telah kekurangan 5,562 undi. Kekurangan ini agak ketara walaupun BN/UMNO menang dengan hanya majoriti 1,914 undi. Adakah dua pilihanraya ini masih gagal membuka mata para pemimpin Pakatan Harapan? Para pemimpin Pakatan Harapan boleh meminta ahli mereka diperingkat akar umbi mengemukakan runggutan rakyat diperingkat bawah dan memperbetulkan perjalanan pemerintahan yang dirasakan telah menyimpang dari aspirasi rakyat yang mereka bawa sebelum pilihanraya umum ke 14.

Paling baharu pilihanraya kecil DUN RANTAU Pakatan Harapan yang diwakili oleh PKR pula yang  kecundang. PKR mecalonkan Dr. S. Streram dan hanya memperolehi 5,887. Manakalan BN/UMNO telah mencalonkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan beliau memperolehi 10,397. Sekali lagi calon parti pemerintah 4,510 undi. Kekurangan  empat atau lima ribu undi bagi parti yang mewakili parti pemerintah adalah jumlah yang cukup besar.
Datuk Seri Mohamad Hasan ADUN Rantau

Sehingga kini hanya AMANAH yang merupakan parti komponen dalam Pakatan Harapan  belum diuji dalam pilihanraya kecil. Jika diuji adakah AMANAH juga akan menerima nasib yang sama?

Walaupun telah kecundang dalam tiga pilihanraya kecil namun kita melihat pemimpin Pakatan Harapan seolah-olah macam kepimpinan UMNO dan BN dulu yang mabukan kuasa, mereka lupa diri dan  tidak cuba berubah dalam usaha memantapkan kerajaan mereka. Mereka seolah-olah tidak ada idea untuk memerintah.

Kita lihat bagaimana Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Bin Ahmad. Bagaikan tidak ada idea sebaik saja dilantik menjadi menteri, beliau kalut dan berkeras mengenai larangan merokok, tidak diberikan ruang khas untuk perokok melayan tabiat mereka. Malah terdengar cadangan nak mengharamkan pula merokok dalam kenderaan sendiri.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad 

Kenapa Menteri Kesihatan berkeras sangat dalam soal ini? Kenapa Kementerian Kesihatan tidak berusaha keras membenteras salah guna dadah? Ini jauh lebih bahaya!  Kenapa Menteri Kesihatan tidak berusaha menyelesaikan masalah katil di hospital kerajaan? Rasanya bab salah guna dadah dan bab katil adalah jauh lebih besar dan penting daripada masalah rokok.

Memang barisan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan dulunya adalah pengkritik tegar kerajaan BN/UMNO. Namun apabila mereka mendapat kuasa mereka seolah-olah tidak ada idea malah meneruskan apa yang dibuat oleh kerajaan BN/UMNO dulu dengan hanya mengubah nama dan sebagainya.

Memang kekalahan ini tidak menjejaskan kuasa kerajaan pusat atau negeri-negeri yang terlibat namun kekalahan ini memberikan justifikasi yang rakyat khususnya orang melayu dan India mula beralih arah.

Harus diingat rakyat telah berani berubah dengan menumbangkan kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO setelah lebih 60 tahun berkuasa. Pastinya tidak menjadi masalah besar untuk rakyat berubah menolak kerajaan Pakatan Harapan sekiranya pemimpinnya masih terbuai dan terlena dengan kekuasaan yang ada.

Sudah setahun Kerajaan Pakatan Harapan berkuasa tidak ada apa perubahan dan pembaharuan yang ketara dilihat terhadap rakyat yang mereka buat. Alasannya kerajaan lama yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib merosakkan ekonomi negara dan kerajaan tak ada duit untuk melaksanakan perubahan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga telah memotong segala peruntukan sabsidi dan bantuan kepada petani dan nelayan. Pembayaran BRIM dipersulitkan, malah pembayaran BRIM untuk anak muda pada mulanya dimansuhkan menjelang pilihanraya kecil Semeyeh baru diluluskan dan diberikan RM100.

Janji menghapuskan tol dan PTPTN hanya tinggal janji. Janji mengawal harga minyak juga bagaikan omongan kosong Kerajaan Pakatan Harapan masih tetap mengamalkan dasar kerajaan BN/UMNO. Alasan para pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan, kerajaan tidak ada duit.

Rasanya rakyat faham dan dapat menerima alasan itu setelah melihat rampasan wang tunai dan barang-barang berharga dari rumah Datuk Seri Najib. Rakyat dapat menerima setelah pelbagai tuduhan melihatkan pemimpin UMNO yang melibatkan 1MDB, Tabung Haji, Risda dan sebagainya.

Namun yang peliknya dalam tidak  ada duit kerajaan sibuk dan berhasrat hendak  bangunkan kereta ketiga. Dana yang akan dibelanjakan membuat R & D dan prototaipnya saja mencecah RM20 juta. RM20 juta dalam keadaan negara tidak ada duit memang besar.
Kenapa tidak menyalurkan RM20 juta itu kerajaan salurkan untuk Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 kepada hampir 1,700 orang. Jumlah itu juga boleh digunakan sebagai bantuan baucer buku RM100 kepada 200,000 pelajar sekolah.

Malah, RM20 juta ini juga boleh diperuntukkan sebagai bantuan subsidi kepada 40,000 petani, pekebun kecil dan nelayan jika diberikan RM500 setiap orang. Mengapa kerajaan Pakatan Harapan mengutamakan projek mega seperti kerajaan BN/UMNO dulu yang tidak memberi banyak manafaat kepada rakyat bawahan.

Dalam tak ada duit pelbagai projek besar dirancang dan baru-baru - ini Kerajaan Pusat meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.


Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata semua projek itu diluluskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada Isnin lalu.

Pelik bin ajaib dalam keadaan duit tidak ada kerajaan boleh berbelanja berjuta malah berbiliion ringgit untuk projek mega tetapi untuk projek yang memberikan kepentingan rakyat. Rakyat sedang memerhati sikap dan tidakan para  pemimpin kerajaan Pakatan Harapan.

Para pemimpin Pakatan Harapan harus ingat, rakyat membuat keputusan  menolak kaerajaan BN yang diterajui oleh UMNO namun tindakan itu  tidak langsung memberikan manafaat kepada rakyat. Malah paling mendukacitakan rakyat apabila rakyat menolak UMNO/BN tapi kerajaan Pakatan Harapan khususnya BERSATU  mengutip seorang demi seorang Ahli Parlimen dan ADUN UMNO.

Tinjauan rambang di peringkat akar umbi memang kesal malah ada yang mengatakan kalau macam ini sikap dan kepimpinan Pakatan Harapan adalah lebih baik mereka terus mengekalkan UMNO/BN dalam pilihanraya lepas. Diyakini jika para pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan tidak melunasi janji mereka tidak proaktif akan keluhan rakyat maka pastinya Pakatan Harapan hanya akan jadi kerajaan sepanggal sahaja.

OLEH : ARZAMAN SULAIMAN
#antologipuisipm
#antologicerpenpm
#bukukankisahhiduppm