Memaparkan catatan dengan label BERITA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BERITA. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Ogos 2008

BERITA POLITIK

Masyarakat Permatang Pauh Alu-Alukan Datuk Seri Anwar

BUKIT MERTAJAM : Rata-rata penduduk negeri Pulau Pinang khususnya para penduduk di Permatang Pauh mengalu-alukan tindakan Presiden KeADILan Rakyat yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk melepaskan jawatan ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Menurut Mohd Suhadi Sufri yang berasal daripada Padang Lalang mengalu-alukan tindakan Datuk Seri Wan Azizah untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali bertanding di Parlimen Permatang Pauh.

“Tindakan ini membuktikan yang Datuk Seri Wan Azizah berpegang kepada janji yang telah diucapkan sebelum pilihanraya lepas yang beliau bersedia melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Anwar apabila tiba masanya.”

“Kehadiran Datuk Seri Anwar sebagai Ahli Parlimen di Pulau Pinang akan mengukuhkan lagi kekuatan Kerajaan Pakatan Rakyat yang pada waktu ini diterajui oleh DAP dan sudah tentu akan menyukarkan BN untuk merampasnya.” Katanya kepada Bicara Ummah.

Sementara Abu Bakar Bin Din daripada Kubang Semang apabila ditanya peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh berkata, Datuk seri Anwar tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk kembali menduduki kerusi yang terpaksa ditinggalkan dulu.

“Rata-rata masyarakat permatang pauh telah lama inginkan agar Datuk Seri Anwar kembali menduduki kerusi tersebut. Bagi saya siapa lawan Datuk Seri Anwar tidak penting kerana masyarakat di permatang pauh telah menantikan kehadiran beliau.”

“Mudah-mudahan usaha Datuk Seri Anwar untuk kembali menjadi Ahli Parlimen dapat merealisasikan usaha beliau untuk menerajui kepimpinan Negara dalam waktu yang terdekat ini.”

“Jika ini berlaku Datuk seri Anwar yang terkenal sebagai perjuang rakyat miskin akan dapat mengubal dasar yang dapat mengurangkan beban rakyat terbanyak. Selama ini saya melihat kepimpinan BN hanya mementingkan kepentingan para pedagang, keluarga dan sahabat handai mereka dalam membuat sesuatu dasar.” Ujarnya ketika ditemui oleh Bicara Ummah.

Manakala Omar Mohd Hashim daripada Permatang Pauh pula berpendapat, pilihanraya ini amat baik untuk Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat mencapai impian mentadbir Negara pada 16 September depan seperti mana yang di wawarkan sebelum ini.

Bicara Ummah juga sempat menemui seorang Ketua UMNO cawangan di Permatang Pauh tapi tidak mahu dikenali berkata, susah untuk UMNO merampas kawasan ini biarpun siapa calonnya yang penting inilah peluang untuk mendapat wang.

Seorang lagi aktivis UMNO di Permatang Pauh yang tidak mahu dikenali pula berpendapat, BN khususnya UMNO tidak payah membuang masa dan wang ringgit untuk merampas kerusi ini kerana usaha ini pasti sia-sia.

“Yang kenyang Ketua UMNO bahagian dan Ketua UMNO cawangan dan kuncu-kuncunya saja. Lebih baik wang itu dibelanjakan untuk membantu orang yang kurang bernasib baik.”

Khamis, 24 Julai 2008

BERITA POLITIK UMNO

SIAPA KETUA UMNO PERMATANG PAUH ?

BUKIT MERTAJAM: UMNO Bahabian Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan 5 penjuru bagi merebut jawatan ketua UMNO bahagian tersebut. Sehingga berita ini di tulis 5 orang tokoh telah menunjukkan minat untuk menduduki kerusi tersebut.

Kerusi tersebut agak hangat dan sentiasa menjadi perebutan sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO. Jawatan tersebut sering menarik begitu ramai calon yang berminat untuk menduduki kerusi tersebut.

Selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerusi ketua bahagian tersebut diduduki oleh Datuk Ahmad Saad yang ketika itu adalah Timbalan ketuan UMNO bahagian. Kemudian kerusi itu diduduki oleh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid yang Berjaya menewaskan Datuk Ahmad Saad.

Apakah yang membuatkan ahli UMNO Permatang Pauh begitu kepingin menduduki kerusi tersebut? Sedangkan Parlimen Permatang Pauh merupakan kubu kuat pembangkang khususnya Parti Keaddilan Rakyat dan PAS? Adakah kerana peruntukkan yang diberi untuk menawan semula kubu kuat pembangkan? Adakah mereka benar-benar ingin memberi khidmat dalam usaha menawan semula kerusi parlimen dan DUN yang diduduki oleh pembangkang? Persoalan ini hanya mampu dijawab oleh mereka yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi terseut.

Sehingga kini Timbalan Ketua UMNO bahagian tersebut yang juga bekas calon BN kerusi parlimen tersebut Datuk Firdaus Ismail telah menunjukkan minat untuk merebut jawatan tersebut daripada Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Selain itu ADUN Seberang Jaya selama dua penggal Datuk Arif Shah Omar Shah juga telah melahirkan minat untuk merebut jawatan tersebut. Datuk Arif Shah dalam pemilihan lepas telah mengadakan kompromi dengan kem Datuk Abdul Jalil. Dalam kompromi itu Datuk Arif Shah telah ditawarkan jawatan Ketua Penerangan bahagian. Selepas menyandang jawatan tersebut buat beberapa ketika akhirnya beliau telah dipecat oleh Datuk Abdul Jalil dan melantik bekas Ketua Pemuda bahagian Zulkifli Bakar menyandang jawatan tersebut.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian tersebut juga menarik perhatian bekas Ketua UMNO Bahagian tersebut yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Datuk Ahmad Saad untuk kembali menerajui bahagian tersebut.

Walaupun terdapat suara-suara sumbang meminta Datuk Ahmad Saad agar tidak merebut jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada muka baru namun populariti Datuk Ahmad Saad di bahagian tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana beliau telah mendapat undi yang terbanyak sebagai wakil UMNO bahagian ke Perhimpunan Agung tahun lepas.

Seorang lagi calon yang akan mencuba nasib untuk merebut jawatan tersebut ialah Razak Osman bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga kini merupakan jawatankuasa UMNO bahagian tersebut. Tawaran Razak ini juga tidak boleh dipandang ringan jika benar suara-suara yang menuntut perubahan di bahgaian tersebut.

Siapakah yang bakal menduduki kerusi Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh kali ini? Adakah Datuk Abdul Jalil Abdul Majid akan berjaya mempertahankan kerusi tersebut? Berdasarkan kajian rambang yang dibuat peluang Datuk Abdul Jalil Abdul Majid mempertahankan kerusi tersebut agak sukar. Rekod dan prestasi kerja Datuk Abdul Jalil dipertikaikan ramai pemimpin UMNO di peringkat bahagian.

Bagaimana pula peluang Datuk Firdaus yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu? Peluang Datuk Firdaus juga dirasakan samar-samar kerana kemenangan Datuk Firdaus dulu kerana bergandingan dengan Datuk Abdul Jalil dan mereka mengadakan kompromi dengan Datuk Arif Shah.

Berdasarkan kajian rambang mendapati peluang Datuk Ahmad Saad dan Datuk Arif Shah Omar Shah berpeluang besar untuk menduduki kerusi tersebut. Sebenarnya pertandingan merebut jawatan Ketua UMNO bahagian tersebut diantara kedua-dua tokoh ini.

Nampaknya pertandingan ini pasti akan memecah belahkan lagi perpaduan UMNO Permatang Pauh jadi usaha UMNO Pulau Pinang dan UMNO Permatang Pauh untuk menawan semula kerusi yang dimenangi oleh pembangkang nampak sukar gara-gara pertandingan ini.