Jumaat, 8 Ogos 2008

BERITA POLITIK

Masyarakat Permatang Pauh Alu-Alukan Datuk Seri Anwar

BUKIT MERTAJAM : Rata-rata penduduk negeri Pulau Pinang khususnya para penduduk di Permatang Pauh mengalu-alukan tindakan Presiden KeADILan Rakyat yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk melepaskan jawatan ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Menurut Mohd Suhadi Sufri yang berasal daripada Padang Lalang mengalu-alukan tindakan Datuk Seri Wan Azizah untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali bertanding di Parlimen Permatang Pauh.

“Tindakan ini membuktikan yang Datuk Seri Wan Azizah berpegang kepada janji yang telah diucapkan sebelum pilihanraya lepas yang beliau bersedia melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Anwar apabila tiba masanya.”

“Kehadiran Datuk Seri Anwar sebagai Ahli Parlimen di Pulau Pinang akan mengukuhkan lagi kekuatan Kerajaan Pakatan Rakyat yang pada waktu ini diterajui oleh DAP dan sudah tentu akan menyukarkan BN untuk merampasnya.” Katanya kepada Bicara Ummah.

Sementara Abu Bakar Bin Din daripada Kubang Semang apabila ditanya peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh berkata, Datuk seri Anwar tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk kembali menduduki kerusi yang terpaksa ditinggalkan dulu.

“Rata-rata masyarakat permatang pauh telah lama inginkan agar Datuk Seri Anwar kembali menduduki kerusi tersebut. Bagi saya siapa lawan Datuk Seri Anwar tidak penting kerana masyarakat di permatang pauh telah menantikan kehadiran beliau.”

“Mudah-mudahan usaha Datuk Seri Anwar untuk kembali menjadi Ahli Parlimen dapat merealisasikan usaha beliau untuk menerajui kepimpinan Negara dalam waktu yang terdekat ini.”

“Jika ini berlaku Datuk seri Anwar yang terkenal sebagai perjuang rakyat miskin akan dapat mengubal dasar yang dapat mengurangkan beban rakyat terbanyak. Selama ini saya melihat kepimpinan BN hanya mementingkan kepentingan para pedagang, keluarga dan sahabat handai mereka dalam membuat sesuatu dasar.” Ujarnya ketika ditemui oleh Bicara Ummah.

Manakala Omar Mohd Hashim daripada Permatang Pauh pula berpendapat, pilihanraya ini amat baik untuk Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat mencapai impian mentadbir Negara pada 16 September depan seperti mana yang di wawarkan sebelum ini.

Bicara Ummah juga sempat menemui seorang Ketua UMNO cawangan di Permatang Pauh tapi tidak mahu dikenali berkata, susah untuk UMNO merampas kawasan ini biarpun siapa calonnya yang penting inilah peluang untuk mendapat wang.

Seorang lagi aktivis UMNO di Permatang Pauh yang tidak mahu dikenali pula berpendapat, BN khususnya UMNO tidak payah membuang masa dan wang ringgit untuk merampas kerusi ini kerana usaha ini pasti sia-sia.

“Yang kenyang Ketua UMNO bahagian dan Ketua UMNO cawangan dan kuncu-kuncunya saja. Lebih baik wang itu dibelanjakan untuk membantu orang yang kurang bernasib baik.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan