Sabtu, 16 Ogos 2008

Pilihanraya Permatang Pauh

Pemilihan Tepat Tapi Bukan Masanya
BARISAN NASIONAL (BN) telah menamakan ADUN Seberang Jaya Datuk Arif Shah Oma Shah sebagai calon pilihanraya bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh. Pengumuman ini telah dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Sunway Carnival, Seberang Jaya.

Menurut Datuk Seri Najib, pencalonan Datuk Arif Shah Omar Shah ini berdasarkan prestasi cemerlang sebagai wakil rakyat DUN Seberang Jaya. Beliau juga rajin bekerja dan mempunyai Pusat Khidmat yang berkesan untuk rakyat. Beliau dilihat mempunyai kelebihan untuk menang.

Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi berkata, Datuk Arif Shah orang yang paling sesuai dan mampu menentang dan menyaingi Penasihat Parti KeADILan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Seri Abdullah menyifatkan Datuk Arif Shah seorang yang banyak berjasa kepada parti, pengundi dan tidak mempunyai sebarang masalah menjalankan tugasnya selama ini. Pemilihan beliau mendapat persetujuan semua pihak.

Memang pemilihan Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon bagi berhadapan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pilihan yang terbaik dikalangan pemimpin UMNO bahagian Permatang Pauh. Ini kerana rekod cemerlang beliau ketika berkhidmat sebagai ADUN Seberang Jaya. Dikala seluruh negara mengalami tsunami politik Datuk Arif Shah masih mampu mempertahankan kerusi tersebut walaupun dengan kelebihan 500 undi. Kemampuan beliau bertahan kerana sikap beliau yang terus bekerja walaupun pada satu-satu ketika kepimpinan UMNO bahagian Permatang Pauh juga tidak senang hati.

Persoalannya kini, mampukah Datuk Arif Sah mengalas harapan yang tinggi pucuk pimpinan BN untuk merebut kembali kerusi Parlimen Permatang Pauh? Mampukah Datuk Arif Shah mengurangkan majoriti 13,000 yang diperolihi olih Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail dalam pilihanraya umum lepas?

Dalam keadaan sekarang sukar untuk Datuk Arif Shah mencabar kewibawaan dan ketokohan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana Datuk Seri Anwar langsung tidak mempunyai masalah dengan pengundi di Permatang Pauh malah dikalangan anggota UMNO di parlimen tersebut.

Lebih-lebih lagi perpaduan dikalangan anggota UMNO di seluruh negara waktu ini begitu goyah kerana perebutan jawatan di peringkat bahagian. Dan di Permatang Pauh sendiri sudah terdapat tiga calon termasuk Datuk Arif Shah yang menawarkan diri untuk merebut jawatan Ketua UMNO bahagian itu daripada bekas ADUN Penanti Datuk Abdul Jalil Abdul Majid. Dua calon lain ialah bekas calon parlimen tersebut Datuk Firdaus Ismail dan bekas pemangku ketua bahgian selepas Datuk Seri Anwar di singkir iaitu Datuk Ahmad Saad. Adakah calon-calon dan penyokong mereka akan bekerja kuat untuk membantu Datuk Arif Shah mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Kita yakin berdasarkan permainan politik UMNO yang banyak mementingkan diri dan puak calon-calon yang bakal bertanding merebut jawatan Ketua UMNO bahagian dan penyokong-penyokong setia tidak akan memberikan komitmen yang tinggi untuk membantu Datuk Arif Shah. Pencapaian Datuk Arif Shah dalam pilihanraya ini akan menjadi modal yang cukup besar dalam usaha beliau merebut jawatan Ketua UMNO bahagian.

Disamping itu jawatankuasa UMNO bahagian tersebut sebelum ini telah mencadangkan ketuanya Datuk Abdul Jalil Abdul Majid untuk bertanding sebagai calon BN. Sudah pasti penyokong-penyokong Datuk Abdul Jalil akan berasa terkilan kerana pucuk pimpinan tidak mendengar padangan jawatankuasa UMNO bahagian dalam pemilihan calon Sekiranya Datuk Arif Shah mampu mengurangkan majority jika tidak memang sekalipun maka peluang Datuk Abdul Jalil mempertahankan kerusi ketua UMNO bahagian Permatang Pauh pasti tergugat.

Inilah masalah besar yang dialami oleh UMNO yang pastinya akan membantutkan peluang calon BN/UMNO ini daripada memenagi pilihanraya ini malah untuk mengurangkan majority sekalipun.

Jadi persoalan lain yang boleh dilontarkan, mampukan calon BN/UMNO ini menghadapi pilihanraya kali ini dan calon yang bakal ditentang bukan calang-calang. Datuk seri Anwar adalah bekas ahli parlimen tersebut yang telah disingkir dengan cara tak terhormat oleh kepimpinan tertinggi UMNO satu masa dulu. Ketika itu seluruh masyarakat Permatang Pauh merasakan seolah-olah Datuk Seri Anwar bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

Dan kali ini sekali lagi masyarakat Permatang Pauh berpeluang untuk melihat ahli parlimen mereka ditabal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Adakah masyarakat Permatang Pauh akan menolak peluang ini? Sekiranya Datuk Seri Anwar dipilih oleh para pengundi Permatang Pauh maka pada 16 September ini sempena lahirnya Negara yang bernama Malaysia ahli parlimen ini bakal menjadi pemimpin nombor wahid Negara.

Lagipun gelombang reformasi yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar pada tahun 1998 nampaknya semakin bersemarak selepas beliau keluar daripada penjara Sungai Buluh. Ini dapat dilihat dalam pilihanraya lepas di mana buat pertama kalinya dalam sejarah kerajaan BN yang memerintah Negara ini lebih 50 tahun telah hilang majority dua pertiga malah kehilangan penguasaan di empat negeri dan gagal menawan negeri Kelantan.

Rata-rata pemerhati politik yakin gelombang reformasi ini akan terus bergelora dan menelan kekuasaan kerajaan BN. Walaupun apa isu yang dibawa majoriti rakyat sudah muak dan jelak dengan permainan dan sandiwara politik kepimpinan BN khususnya UMNO yang hanya memikirkan kepentingan diri, keluarga dan kawan-kawan daripada memperjuangkan nasib dan masalah rakyat kebanyakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan