Selasa, 23 Oktober 2007

SUKAN

LIGA MALAYSIA AKAN BERMULA
Sejauhmana Perubahan Liga Malaysia

MUSIM baru bolasepak malaysia akan bermula tidak lama lagi. Pasukan yang akan menyertai pertandingan ini giat mengadakan latihan dalam usaha untuk memilih pemain terbaik bagi mewakili pasukan masing-masing. Misalnya pasukan Selangor baru-baru ini telah mengadakan latihan di Australia.

Pasukan yang akan menyertai juga sibuk memilih pemain-pemain tempatan malah impot yang bagi mereka adalah yang terbaik untuk mencipta keputusan yang terbaik. Persoalan yang nak dibangkitkan di sini bukannya soal persiapan, soal pemilihan pemain tetapi perubahan sikap para peneraju pasukan bolasepak ini.

Selagi para penerajui kepimpinan bolasepak diperingkat negeri ini masih lagi tidak berubah sikap malah mengamalkan budaya yang selama ini diamalkan maka selagi itulah malaysia akan mengalami kemerosotannya. Sekadar Putera Mahkota Pahang Tengku Abdulah selaku Timbalan Presiden FAM dan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad selaku Setiausaha Agung FAM meletak jawatan dan keseluruhan jentera bolasepak negeri tidak berubah bolasepak malaysia tidak akan ke mana.

Daripada pengamatan saya yang melihat daripada luar punca utama kemerosotan bolasepak negara adalah berpunca daripada keseluruhan aspek pengurusan. Para pengurusan pasukan bolasepak langsung tidak profesional walaupun para pemainnya rata-rata pemain profesional. Pengurusan pasukan langsung tidak memikirkan masalah kebajikan pemain mereka. Mereka hanya tahu untuk memerah keringat para pemain dalam usaha untuk mereka mencipta nama.

Cuba bayangkan sudah bertahun liga profesional ini dilancar, boleh kata hampir setiap tahun para pemain merintih tidak dibayar gaji. Bagaimana para pemain kita hendak bermain dengan baik jika gaji tidak dibayar. Satu ketika saya pernah bercakap dengan Hasmawi Hasan ketika itu mewakili pasokan Pulau Pinang bertanyakan kemerosotan teruk pasukan Pulau Pinang ketika itu.

"Abang, macam mana kita nak main dengan elok, otak kita serabut gaji tak dapat bank duk ligan hutang. Ada yang hutang rumah, kereta, motor dan sebagainya. Kita juga nak makan dan macam mana kita nak makan makanan yang berkiasiat bagi memberi tenaga jika duit tak ada." begitulah keluhan beliau kepada saya.

Apabila mereka tak dapat gaji maka tumpuan dan perhatian mereka hilang dan dengan sendirinya tahap permainan mereka menurun. Apabila persembahan buruk maka para penonton pun mulalah tidak mahu pergi ke stadium maka semakin berkuranglah katung persatuan dan semakin parahlah nasih pemain.

Dalam waktu yang sama para pemain ini pula mendapat panggilan untuk mewakili negara, jadi dapatkah kita bayangkan persembahan mereka. Saya tidak salahkan pemain, dalam keadaan ini kita ambillah pasokan Manchester Utd. Chelsea atau mana-mana pasokan gergasai Liga EPL main di malaysia dan segala gaji dan elaun dicara cara malaysia, yang mana kadang-kadang tiga bulan tak dapat gaji, bolehkah mereka jadi Juara Liga Perdana dan Piala Malaysia?

Ada juga suara-suara sumbang mengatakan pemain sekarang mata duitan tidak seperti pemain dulu yang bermain penuh semangat tanpa mengira ganjaran. Nampaknya suara sumbang ini lupa pemain dulu mereka dapat gaji bulanan tetap daripada majikan kalau pasukan tidak memberikan mereka elaun sekalipun mereka dan keluarga ada makan. Sekarang inilah mata pencarian mereka, jika mereka tidak dapat gaji macam mana mereka hendak hidup. Dan diri kita sendiri apabila pergi kerja tak dapat gaji macam mana jadinya?

Jesteru itu dalam usaha untuk memacu kembali kemajuan bolasepak negara agar kembali setara dengan Jepun dan Korea yang pada tahun 80an dan 90an yang setaraf dengan kita maka perubahan sikap para pemimpin persatuan diperingkat negeri amat penting. Jika pada tahun yang akandatang ini kita masih kedengaran ada pasukan yang tidak melunasi gaji dengan baik maka sampai bila pun bolasepak malaysia tidak akan ke mana. Yakinlah jika keadaan ini berlarutan maka stadium yang besar itu hanya akan dipenuhi seribu dua penonton saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan