Rabu, 11 Mac 2009

DATUK SERI ABDULLAH PERLU KEKAL SEBAGAI PM

MENGIKUT jadual Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin bergelar Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agong UMNO yang akan berlangsung pada 25 Mac ini. Persoalannya, adakah Datuk Seri Najib akan ditabal menjadi Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri Malaysia?

Lama sebelum ini kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan menjadi Perdana Menteri. Suara-suara ini telah sampai ke teliga para wartawan sehingga para wartawan sering mengemukakan soalan mengenai itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Sebagai pemerhati politik saya sering meneliti perkembangan politik dan cuba mencari jawapan kepada persoalan ini. Perkembangan mutakhir politik hari ini nampaknya telah menuju kearah itu. Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi cabaran yang cukup getir untuk ditabal Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Bermula dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak cuba menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak sebaik saja dilantikan menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Perak menampakkan kerakusannya. Beliau telah menghalalkan cara bagi mencapai tujuannya. Ramai yang berpendapatan Datuk Seri Najib silap bersongkokol dengan dua ADUN KeADILan di Perak yang sedang menghadapi tuduhan rasuah untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak. Tindakan itu telah mencemarkan nama beliau yang memang sudah tidak kelihatan bersih di mata rakyat.

Setelah berjaya mempengaruhi dua ADUN KeADILan dan seorang ADUN DAP Datuk Seri Najib terus mengadap Sultan Perak dan melantik Datuk Zamri Abd Kadir sebagai Menteri Besar baru Perak sedangkan Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin masih sah menjadi Menteri Besar Perak dan Speaker DUN mengeluarkan surat letak jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut.

Berdasarkan perlembagaan negeri Perak Sultan tidak boleh memecat Menteri Besar dan memang sehingga kini Sultan Perak tidak pernah bertitah memecat Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin sebaliknya meminta Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk meletak jawatan. Ramai pemerhati dan penganalisa politik seperti Prof. Dr. Abdul Aziz Bari pensyarah falkulti undang-undang di UIAM berpendapat bahawa Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.

Jadi tindakan Datuk Seri Najib dalam soal ini telah mencetuskan isu perlembagaan yang hebat di Perak. Pelbagai perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah terjadi di Perak malah isu ini menyebabkan rakyat kebanyakan telah hilang hormat dan kepercayaan kepada Sultan Perak yang sebelum ini memang ramai menghormatinya kerana baginda merupakan satu-satunya Sultan yang berpendidikan tinggi di negara ini.

Isu ini bukan menaikan nama Datuk Seri Najib sebaliknya merosakan reputasi beliau yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan Negara. Orang banyak melihat betapa rakusnya Datuk Seri Najib sanggup melakukan apa saja bagi mencapai tujuannya. Rata-rata berkata, itu belum lagi menjadi Perdana Menteri dan ramai tidak dapat membayangkan bagaimana kalau beliau menjadi Perdana Menteri.

Sebaik isu lompat ini dibicarakan muncul Ketua KeADILan Ipoh Barat, Fauzi Muda telah melemparkan dakwaan yang beliau cuba disogok oleh Datuk Seri Najib sebanyak RM50 juta untuk menarik wakil rakyat pembangkang khususnya daripada PKR untuk meninggalkan parti itu dan kesannya Kerajaan Pakatan Rakyat akan tumbang.

Dakwaan itu mati begitu saja dan baru-baru ini sekali lagi Ketua KeADILan Ipoh Barat muncul dengan mencabar polis menyeretnya ke mahkamah agar dapat mendedahkan butiran dakwaan percubaan Datuk Seri Najib Razak merasuah wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk melompat parti bagi menjatuhkan kerajaan Perak."Saya bersedia untuk ke mahkamah di mana saya akan berpeluang mendedahkan semua bukti yang saya ada termasuk rakaman tentang perbualan dan perbincangan saya tentang isu membeli Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan yang diusahakan oleh Najib," kata ketua bahagian PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda."Saya mendesak polis agar segera mendakwa saya di mahkamah adalah kerana saya tahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis pasti tidak akan mendakwa Datuk Seri Najib di mahkamah terhadap apa yang telah saya laporkan."Jadi jika mereka mendakwa saya, itulah saja jalan yang terbaik untuk saya berdepan dengan Najib di mahkamah dan mendedahkan segala bukti-bukti yang ada pada saya terhadap rasuah dan pembelian Adun yang melompat parti dan menyokong BN." Katanya sepertimana dilapor oleh Malaysiakini.

Malaysiakini juga telah menghubungi bekas timbalan menteri pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin mengesahkan memang ada pertemuan antara Najib dengan Fauzi pada 11 Mac tahun lalu seperti didakwa.Beliau - yang turut dinamakan dalam akuan berkanun Fauzi - bagaimanapun tidak mengetahui butiran perbincangan antara pemimpin PKR itu dengan timbalan presiden Umno.Menurut Zainal lagi, perbincangan itu diadakan di tempat terbuka di kediaman rasmi Najib - waktu itu menteri pertahanan - tetapi tidak mendengar perbualan Fauzi itu kerana terdapat ramai orang di situ.
Zainal juga mengakui beliau menaiki kereta yang sama dengan Fauzi dan seorang rakannya Sulaiman Mansor, yang juga seorangan rakan Fauzi.Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak mengenali Fauzi dan tidak mengetahui bahawa Fauzi seorang pemimpin PKR.
Dakwaan yang dibuat oleh Fauzi Muda ini memang serius dan boleh merosakan reputasi Timbalan Perdana Menteri yang bakal ditabal menjadi Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat ini. Persoalannya mengapa sehingga kini pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) masih mendiamkan diri dan tidak mendakwa Fauzi?

Ketika kes pembicaraan Altantuya Shaaribuu menuju keperingkat akhir tiba-tiba akhbar perancis “Liberation French” tulisan Arnaub Dubus malah pendedahan laporan soal siasat polis telah membongkar banyak perkara mengenai pembunuhan Altantuya, disaat Datuk Seri Najib bakal ditabalkan menjadi pemimpin nombor wahid negara ini. Memang sejak kes ini muncul dikhalayak dan melibatkan penganalisa politik yang juga rakan Datuk Seri Najib, Razak Baginda menimbulkan pelbagai persoalan. Lebih-lebih lagi kematian Altantuya Shaaribuu yang diletupkan menggunakan bahan letupan milik pihak berkuasa.

Sedang UMNO sedang bersiap untuk mengadakan Perhimpunan Agongnya dan dijangka peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tiba-tiba muncul pula Ahli UMNO Bahagian Subang, Datuk Mazlan Harun dan Ketua UMNO Cawangan Bandar Muar, Datuk Kadar Ninam Shah bercadang untuk mengambil injuksi mahkamah bagi menghalang perhimpunan itu diteruskan kerana pucuk pimpinan UMNO tidak menyelesaikan kes salah laku dan politik wang sebelum pemilihan UMNO.

Berdasarkan apa yang sedang berlaku diyakini Datuk Seri Najib menghadapi masalah untuk menjawat jawatan tertinggi politik negara pada waktu ini. Bagi memelihara imej UMNO yang buat pertama kalinya hilang majoriti dua pertiga dalam pilihanraya lepas maka disarankan Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi tidak boleh melepaskan jawatan Perdana Menteri hatta Presiden UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

1 ulasan:

  1. satu kupasan senario politik dalaman yang menarik... terima kasih

    BalasPadam