Isnin, 23 Mac 2009

POLITIK UMNO

UMNO TAK BOLEH LARI DARI POLITIK WANG
MENJELANG Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung dalam sehari dua ini di mana perhimpunan kali ini akan diadakan pemilihan pucuk pimpinan parti yang telah memerintah negara ini lebih 51 tahun.

Nampaknya para pemimpin UMNO yang menawarkan diri untuk bertanding telah berkempen, melobi malah ada yang merasuah para perwakilan untuk mendapatkan undi. Sikap, tindakan dan budaya pemimpin UMNO ini telah lari jauh daripada sikap dan budaya orang melayu malah agama Islam yang menjadi pengangan para pemimpin UMNO.

Bukti para pemimpin UMNO rasuah jelas terbukti apabila Datuk Norza Zakaria Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang telah didakwa di mahkamah. Begitu juga Setiausaha politik Datuk Azlina Othman yang membawa RM75,000.00 dan yang terbaharu apabila Lembaga Disiplin UMNO yang diketuai oleh Tan Sri Tengku Ahmad Ritahuddeen telah menghukum beberapa orang pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang bakal bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Bagi saya kalau hendak dikira mungkin hampir semua calon mengamalkan politik wang cuma mereka tidak kena tangkap dan tidak ada bukti. Macam kita naik motor atau pandu kereta tak ada lesen kalau kena tangkap baru dikira salah selagi tak kena kita pasti rasa tidak bersalah padahal itu merupakan satu kesalahan.

Persoalannya kini, mengapa para pemimpin UMNO sanggup menghabiskan wang dan dirasakan bukan puluhan ribu malah mungkin ratusan ribuan ringgit dan tak mustahil berbelanja jutaan ringgit semata-mata hendak merebut jawatan parti? Saya mengalami peristiwa ini di mana Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Sdr. Nordin Md. Noor waktu itu akan bertanding Exco Pemuda UMNO Malaysia. Beliau telah membawa rombongan berkempen ke serata tempat dan tempahan bilik hotel tidak kurang daripada lima bilik malah ada ketikanya sampai sepuluh bilik, Saya juga kerap turut serta dalam rombongan itu. Berapa belanja sewa bilik hotel, makan minum rombongan dan perwakilan yang ditemui dan sudah tentu ada juga saguhati sebagai buah tangan.

Saya juga turut terlibat semasa team wawasan yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dulu. Disamping sekali sekala pergi ke negeri lain tapi saya Md. Noor Ahmad (kini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan), Wahid (kini Ketua Pemuda UMNO Batu Kawan) dan Jamaludin (sudah tak aktif dalam UMNO) telah ditugaskan menemui setiap orang perwakilan di negeri Perak. Ketika itu kami hanya membawa salam Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Apabila team wawasan membuat kempen besar-besaran di Hotel Syuan di Ipoh dan ketika itu dan saya turut hadir, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad telah meminta saya turut mendapatkan pemandu dan membawa masuk ‘brief case’ ke sebuah bilik di hotel tersebut. Saya terkejut sebenarnya ‘brief case’ yang saya bawa berisi wang penuh sendat. Saya sendiri terkejut dan tak sangka saya membawa ‘brief case’ berisi wang.

Apabila Lembaga Disipin UMNO mengambil tindakan terhadap calon yang bakal bertanding maka timbul pelbagai spekulasi dan perbalahan baru dikalangan kepimpinan UMNO. Sememangnya hukuman yang diambil oleh Lembaga Disiplin UMNO menimbulkan keraguan. Kita yakin bukan Datuk Seri Ali Rustam saja malah hampir kesemua mereka yang terlibat menggunakan pelbagai pendekatan dan kemudahan untuk bertemu dengan para perwakilan.

Saya sendiri pernah aktif dalam UMNO dan memang faham sangat amalan politk wang yang mainkan oleh para pemimpin UMNO. Malah seorang kawan saya dulunya Ketua Pemuda UMNO Negeri kini ADUN dan bergelar Datuk pernah ditanya oleh Ali Gemok (Setiausaha Datuk Nazri TanSri Aziz) di hadapan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Md. Noor Ahmad kini Timbalan Ketua UMNO Batu Kawan dan saya sendiri di Pejabat Datuk Aziz di Bandar Perda Bukit Mertajam, berapa yang beliau dapat. Beliau memberitahu telah berjaya mengumpul lebih 100 ribu. Itu dulu dan waktu itu jawatan nombor dua UMNO tidak ada pertandingan. Bagaimana sekarang?

Malah satu ketika saya telah lama tidak aktif dalam UMNO dan seorang kawan baik saya berhasrat menawarkan diri bertanding sebagai perwakilan dan kami mengadakan pertemuan dan berbincang dan saya menyokong hasratnya dan saya yakin dia akan memang. Telahaan saya ternyata benar kawan baik saya telah memang dan terpilih sebagai wakil. Apabila selesai perhimpunan agung itu beliau telah datang mengambil saya dan membawa saya mandi wap, makan dan beliau menghulurkan sedikit wang. Apabila ditanya untuk apa, katanya adalah rezeki lebih sikit. Cuba bayangkan bertapa jenuhnya para perwakilan semasa musim pemilihan sehingga boleh melimpah kepada kawan-kawan yang sudah lagi tidak aktif.

Kesimpulannya hari ini jika betapa hebat, baik, jujur dan amanah sesaorang itu untuk berjuang dalam UMNO dan menawarkan diri untuk bertanding bukan saya peringkat tertinggi cukup diperingkat bahagian mahupun cawangan, kalau tidak ada wang jangan harap boleh memang. Jelas anggota UMNO memilih pemimpin yang ada duit bukannya yang ada visi, misi dan semangat membela bangsa.

Saya sendiri pernah melalui pengalaman pahit itu. Suatu waktu dulu saya adalah jawatan kuasa Pemuda UMNO bahagian Bukit Mertajam dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Machang Bubok. Ketika itu saorang kawan saya yang lain Zainalabidin Abdul Majid (Kini Datuk) ingin merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam dan beliau tahu bahawa saya adalah penyokong kuat harakah kepimpinan pemuda yang bakal di cabar.

Beliau telah mencari proxinya di cawangan saya. Mereka cuba mencari kelemahan saya dalam usaha menjatuhkan saya sebagai Ketua Pemuda UMNO cawangan. Malangnya mereka melihat tidak ada celah kerana saya memang mengerakan pemuda UMNO cawangan dengan aktif waktu itu. Lalu mereka mengumpulkan anggota pemuda UMNO cawangan dan membawa mereka pergi makan dan berkaroke di Kelab Darulaman, Kulim boleh kata hampir setiap malam. Sedangkan saya tidak punya wang untuk membawa anggota pemuda cawangan berhibur dan bagi makan macam tu. Saya hanya mampu mengerakan pemuda cawangan dengan wang pemuda cawangan yang saya cari maka bila masa pemilihan saya jatuh tergolek.

Walaupun saya kalah di peringkat cawangan tapi kawan-kawan saya telah menang di bahagian maka saya terus dilantik sebagai jawatankuasa pemuda bahagian. Malangnya apa yang berlaku di cawangan, Ketua Pemuda UMNO Cawangan yan baru ditabal akhirnya meletak jawatan kerana tidak mampu mengerakan pemuda UMNO cawangan. Malah yang paling saya kesalkan Kelab Bolasepak Machang Bubok yang saya bentuk dan bertanding di Liga Bolasepak Bukit Mertajam dan mempunyai ‘ranking’ yang agak baik turut terkubur dan baru beberapa tahun kebelakangan ini baru saya lihat ada individu biasa lain cuba mengumpul dan membentuk kembali pasokan bolasepak.

Cuba bayangkan kesan permainan politik wang, peristiwa ini berlaku di sekitar pertengahan tahun 90an dan pertengahan tahun 2000 baru nampak balik bibik-bibik pembentukan pasokan bola untuk pemuda. Itu baru satu perkara dan perkara-perkara lain juga terut berkubur.

Diyakini sekiranya pucuk pimpinan UMNO tidak betul-betul memerangi gejala politik wang UMNO hanya akan dipimpin oleh mereka yang mengamalkan politik wang. Apabila mereka telah sanggup menghabiskan banyak wang semata-mata untuk mendapatkan jawatan maka apabila mereka berjaya mereka, pastinya mereka akan cuba mencari peluang dan mengaut segala peluang yang ada dan mereka ketika itu tidak akan pedulikan dasar yang diperkenalkan oleh pucuk pimpinan parti walaupun pada hakikatnya mereka sedar dasar itu boleh merugikan bangsa.

Sebagai contoh isu PPSMI ketika mula diperkenalkan dulu oleh Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun), saya telah menulis beberapa artikel menentang perlaksanaan dasar ini dan secara kebetulan saya telah bertemu dengan seorang Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang juga seorang guru dan saya meninjau pendapatnya. Beliau juga tidak bersetuju lalu saya katakana lakukan sesuatu, katanya payah Datuk Ketua bahagian yang juga seorang perniaga pasti tidak setuju dan menyenangi tindakan menentang dasar pucuk pimpinan parti.

Inilah perkara yang berlaku dan kesannya UMNO telah hilang roh perjuangan untuk membela dan menjaga kepentingan orang melayu kerana para pemimpinnya hanya mementingkan kepentingan diri lantaran kerana mereka telah menghabiskan banyak wang semasa bertanding untuk merebut pelbagai jawatan parti.
Maka jangan hairanlah sekarang sokongan terhadap UMNO semakin kurang dan sekiranya para pemimpin UMNO tidak membuat sesuatu dan membetulkan dasar perjuangan membela dan menjaga kepentingan orang melayu bukannya sandiwara berucap bercakap membela tapi hakikatnya menikam dan menjahanamkan anak bangsa maka orang melayu akan lari dari menyokong UMNO dan UMNO hanya akan tinggal nama saja suatu hari nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan