Isnin, 6 April 2009

BUKIT GANTANG DAN BUKIT SELAMBAU MILIK PR

DATUK Seri Najib Tun Razak yang baru saja dilantik menjadi Perdana Menteri ke-6 negara bakal menerima tamparan hebat yang pertama apabila parti pimpinan beliau dijangka kecundang di tangan calon Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.

Walaupun selepas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri beliau telah membebaskan 13 orang tahanan ISA, menarik balik pengharaman penerbitan akhbar Harakah dan Suara KeADILan dan memberikan jaminan dalam proses mengkaji semula ISA dan kemasukan semula bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir diyakini tidak akan memberikan banyak kesan terhadap keyakinan rakyat terhadap BN khususnya kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana sebelum perlantikan pelbagai isu besar telah dikiatkan dengan Datuk Seri Najib. Sepatutnya Perdana Menteri lepas Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi yang kini bergelar Tun menubuhkan Suruhanjaya bebas bagi membersihkan imej Datuk Seri Najib yang telah tercalar akibat dikiatkan dengan pelbagai dakwaan. Perlantikan terus Datuk Seri Najib bukan saja bukan saja menjejaskan imej Datuk Seri Najib di mata rakyat malah di mata para pemimpin di seluruh dunia.

Begitu juga dengan kemasukan Tun Dr. Mahathir di saat-saat isu perlembagaan negeri Perak serta tindakan Sultan Perak meminta Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin meletak jawatan sebenarnya mengundang masalah. Kekebalan institusi Raja-Raja Melayu sebenarnya dihapuskan oleh Tun Dr. Mahathir. Apabila isu ini muncul rakyat kebanyakan mula sedar bahawa kesilapan besar rakyat menyokong tindak kerajaan Tun Dr. Mahathir meminda perlembangaan negara adalah sesuatu yang merugikan orang melayu itu sendiri.

Jesrteru itu tindakan awal Datuk Seri Najib dan kemasukan semula Tun Dr. Mahathir tidak banyak memberikan kesan kepada kepercayaan dan keyakinan rakyat sepertimana yang berlaku diawal kepimpinan Datuk Seri Abdullah dulu.

Disamping itu faktor pemilihan Ismail Saffian yang hanya bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang juga bakal memberikan kesan. Ini kerana rata-rata harakah kepimpinan UMNO Bahagian yang masih memegang jawatan pasti merasa tidak senang dengan pemilihan ini. Perkara yang sama berlaku kepada Datuk Arif Shah yang tidak memegang sebarang jawatan dalam UMNO bahagian telah dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini. Nampaknya UMNO mengulangi kesilapan yang sama, rata-rata kepimpinan UMNO memang suka menikam kawan dari belakang.

Ramalan keputusan Pilihanraya Parlimen Bukit Gantang mendapati calon Pakatan rakyat Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin diramal bakal menang dengan undi sebanyak 6774 undi. Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin dijangka bakal merais undi sebanyak 28,294 undi, calon BN Ismail Saffian pula dijangka mengumpul 21,520 undi sementara calon bebas Kamarul Ramizu Idris dijangka mendapat hanya disekitar 560 undi.

Manakala bagi DUN Bukit Selambau calon Pakatan Rakyat dari Parti KeADILan Rakyat S. Manikumar dijangka akan memang dengan majority 3,291 undi. S. Manikumar dijangka akan mengumpul 16,465 undi dan calon BN dari MIC yang diwakili oleh Datuk S.Ganesan dijangka mampu merais 13,174 undi.

Bagi calon-calon bebas dijangka rata-rata akan merais lebih kurang 20 undi bagi seorang calon. Jumlah besar undi kepada calon bebas dijangka akan mengumpul 2,600 undi. Undi daripada pemilih melayu akan lari sebanyak 1,400 undi kepada calon bebas, undi pengundi Cina akan lari 200 kepada calon bebas dan undi pengundi India pula akan 1200 undi.

Sementara DUN Batang Ai di Serawak dirasakan BN akan terus menguasainya tapi menghadapi sedikit saingan daripada calon Pakatan Rakyat yang diwakili oleh calon Parti KeADILan Rakyat.

Sekiranya ramalan ini menjadi kenyataan di mana Pakatan Rakyat berjaya memenangi dua daripada tiga pilihnaraya kecil ini memberikan makna yang hayat BN dan UMNO sudah sampai ke penghujung. Ada dikalangan pemerhati politik yang mengatakan bahawa Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri terakhir daripada BN dan UMNO. Ramalan ini bertepatan dengan berakhirnya teori RAHMAN.

Isnin, 23 Mac 2009

POLITIK UMNO

UMNO TAK BOLEH LARI DARI POLITIK WANG
MENJELANG Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung dalam sehari dua ini di mana perhimpunan kali ini akan diadakan pemilihan pucuk pimpinan parti yang telah memerintah negara ini lebih 51 tahun.

Nampaknya para pemimpin UMNO yang menawarkan diri untuk bertanding telah berkempen, melobi malah ada yang merasuah para perwakilan untuk mendapatkan undi. Sikap, tindakan dan budaya pemimpin UMNO ini telah lari jauh daripada sikap dan budaya orang melayu malah agama Islam yang menjadi pengangan para pemimpin UMNO.

Bukti para pemimpin UMNO rasuah jelas terbukti apabila Datuk Norza Zakaria Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang telah didakwa di mahkamah. Begitu juga Setiausaha politik Datuk Azlina Othman yang membawa RM75,000.00 dan yang terbaharu apabila Lembaga Disiplin UMNO yang diketuai oleh Tan Sri Tengku Ahmad Ritahuddeen telah menghukum beberapa orang pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang bakal bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Bagi saya kalau hendak dikira mungkin hampir semua calon mengamalkan politik wang cuma mereka tidak kena tangkap dan tidak ada bukti. Macam kita naik motor atau pandu kereta tak ada lesen kalau kena tangkap baru dikira salah selagi tak kena kita pasti rasa tidak bersalah padahal itu merupakan satu kesalahan.

Persoalannya kini, mengapa para pemimpin UMNO sanggup menghabiskan wang dan dirasakan bukan puluhan ribu malah mungkin ratusan ribuan ringgit dan tak mustahil berbelanja jutaan ringgit semata-mata hendak merebut jawatan parti? Saya mengalami peristiwa ini di mana Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Sdr. Nordin Md. Noor waktu itu akan bertanding Exco Pemuda UMNO Malaysia. Beliau telah membawa rombongan berkempen ke serata tempat dan tempahan bilik hotel tidak kurang daripada lima bilik malah ada ketikanya sampai sepuluh bilik, Saya juga kerap turut serta dalam rombongan itu. Berapa belanja sewa bilik hotel, makan minum rombongan dan perwakilan yang ditemui dan sudah tentu ada juga saguhati sebagai buah tangan.

Saya juga turut terlibat semasa team wawasan yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dulu. Disamping sekali sekala pergi ke negeri lain tapi saya Md. Noor Ahmad (kini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan), Wahid (kini Ketua Pemuda UMNO Batu Kawan) dan Jamaludin (sudah tak aktif dalam UMNO) telah ditugaskan menemui setiap orang perwakilan di negeri Perak. Ketika itu kami hanya membawa salam Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Apabila team wawasan membuat kempen besar-besaran di Hotel Syuan di Ipoh dan ketika itu dan saya turut hadir, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad telah meminta saya turut mendapatkan pemandu dan membawa masuk ‘brief case’ ke sebuah bilik di hotel tersebut. Saya terkejut sebenarnya ‘brief case’ yang saya bawa berisi wang penuh sendat. Saya sendiri terkejut dan tak sangka saya membawa ‘brief case’ berisi wang.

Apabila Lembaga Disipin UMNO mengambil tindakan terhadap calon yang bakal bertanding maka timbul pelbagai spekulasi dan perbalahan baru dikalangan kepimpinan UMNO. Sememangnya hukuman yang diambil oleh Lembaga Disiplin UMNO menimbulkan keraguan. Kita yakin bukan Datuk Seri Ali Rustam saja malah hampir kesemua mereka yang terlibat menggunakan pelbagai pendekatan dan kemudahan untuk bertemu dengan para perwakilan.

Saya sendiri pernah aktif dalam UMNO dan memang faham sangat amalan politk wang yang mainkan oleh para pemimpin UMNO. Malah seorang kawan saya dulunya Ketua Pemuda UMNO Negeri kini ADUN dan bergelar Datuk pernah ditanya oleh Ali Gemok (Setiausaha Datuk Nazri TanSri Aziz) di hadapan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Md. Noor Ahmad kini Timbalan Ketua UMNO Batu Kawan dan saya sendiri di Pejabat Datuk Aziz di Bandar Perda Bukit Mertajam, berapa yang beliau dapat. Beliau memberitahu telah berjaya mengumpul lebih 100 ribu. Itu dulu dan waktu itu jawatan nombor dua UMNO tidak ada pertandingan. Bagaimana sekarang?

Malah satu ketika saya telah lama tidak aktif dalam UMNO dan seorang kawan baik saya berhasrat menawarkan diri bertanding sebagai perwakilan dan kami mengadakan pertemuan dan berbincang dan saya menyokong hasratnya dan saya yakin dia akan memang. Telahaan saya ternyata benar kawan baik saya telah memang dan terpilih sebagai wakil. Apabila selesai perhimpunan agung itu beliau telah datang mengambil saya dan membawa saya mandi wap, makan dan beliau menghulurkan sedikit wang. Apabila ditanya untuk apa, katanya adalah rezeki lebih sikit. Cuba bayangkan bertapa jenuhnya para perwakilan semasa musim pemilihan sehingga boleh melimpah kepada kawan-kawan yang sudah lagi tidak aktif.

Kesimpulannya hari ini jika betapa hebat, baik, jujur dan amanah sesaorang itu untuk berjuang dalam UMNO dan menawarkan diri untuk bertanding bukan saya peringkat tertinggi cukup diperingkat bahagian mahupun cawangan, kalau tidak ada wang jangan harap boleh memang. Jelas anggota UMNO memilih pemimpin yang ada duit bukannya yang ada visi, misi dan semangat membela bangsa.

Saya sendiri pernah melalui pengalaman pahit itu. Suatu waktu dulu saya adalah jawatan kuasa Pemuda UMNO bahagian Bukit Mertajam dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Machang Bubok. Ketika itu saorang kawan saya yang lain Zainalabidin Abdul Majid (Kini Datuk) ingin merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam dan beliau tahu bahawa saya adalah penyokong kuat harakah kepimpinan pemuda yang bakal di cabar.

Beliau telah mencari proxinya di cawangan saya. Mereka cuba mencari kelemahan saya dalam usaha menjatuhkan saya sebagai Ketua Pemuda UMNO cawangan. Malangnya mereka melihat tidak ada celah kerana saya memang mengerakan pemuda UMNO cawangan dengan aktif waktu itu. Lalu mereka mengumpulkan anggota pemuda UMNO cawangan dan membawa mereka pergi makan dan berkaroke di Kelab Darulaman, Kulim boleh kata hampir setiap malam. Sedangkan saya tidak punya wang untuk membawa anggota pemuda cawangan berhibur dan bagi makan macam tu. Saya hanya mampu mengerakan pemuda cawangan dengan wang pemuda cawangan yang saya cari maka bila masa pemilihan saya jatuh tergolek.

Walaupun saya kalah di peringkat cawangan tapi kawan-kawan saya telah menang di bahagian maka saya terus dilantik sebagai jawatankuasa pemuda bahagian. Malangnya apa yang berlaku di cawangan, Ketua Pemuda UMNO Cawangan yan baru ditabal akhirnya meletak jawatan kerana tidak mampu mengerakan pemuda UMNO cawangan. Malah yang paling saya kesalkan Kelab Bolasepak Machang Bubok yang saya bentuk dan bertanding di Liga Bolasepak Bukit Mertajam dan mempunyai ‘ranking’ yang agak baik turut terkubur dan baru beberapa tahun kebelakangan ini baru saya lihat ada individu biasa lain cuba mengumpul dan membentuk kembali pasokan bolasepak.

Cuba bayangkan kesan permainan politik wang, peristiwa ini berlaku di sekitar pertengahan tahun 90an dan pertengahan tahun 2000 baru nampak balik bibik-bibik pembentukan pasokan bola untuk pemuda. Itu baru satu perkara dan perkara-perkara lain juga terut berkubur.

Diyakini sekiranya pucuk pimpinan UMNO tidak betul-betul memerangi gejala politik wang UMNO hanya akan dipimpin oleh mereka yang mengamalkan politik wang. Apabila mereka telah sanggup menghabiskan banyak wang semata-mata untuk mendapatkan jawatan maka apabila mereka berjaya mereka, pastinya mereka akan cuba mencari peluang dan mengaut segala peluang yang ada dan mereka ketika itu tidak akan pedulikan dasar yang diperkenalkan oleh pucuk pimpinan parti walaupun pada hakikatnya mereka sedar dasar itu boleh merugikan bangsa.

Sebagai contoh isu PPSMI ketika mula diperkenalkan dulu oleh Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun), saya telah menulis beberapa artikel menentang perlaksanaan dasar ini dan secara kebetulan saya telah bertemu dengan seorang Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang juga seorang guru dan saya meninjau pendapatnya. Beliau juga tidak bersetuju lalu saya katakana lakukan sesuatu, katanya payah Datuk Ketua bahagian yang juga seorang perniaga pasti tidak setuju dan menyenangi tindakan menentang dasar pucuk pimpinan parti.

Inilah perkara yang berlaku dan kesannya UMNO telah hilang roh perjuangan untuk membela dan menjaga kepentingan orang melayu kerana para pemimpinnya hanya mementingkan kepentingan diri lantaran kerana mereka telah menghabiskan banyak wang semasa bertanding untuk merebut pelbagai jawatan parti.
Maka jangan hairanlah sekarang sokongan terhadap UMNO semakin kurang dan sekiranya para pemimpin UMNO tidak membuat sesuatu dan membetulkan dasar perjuangan membela dan menjaga kepentingan orang melayu bukannya sandiwara berucap bercakap membela tapi hakikatnya menikam dan menjahanamkan anak bangsa maka orang melayu akan lari dari menyokong UMNO dan UMNO hanya akan tinggal nama saja suatu hari nanti.

Rabu, 11 Mac 2009

DATUK SERI ABDULLAH PERLU KEKAL SEBAGAI PM

MENGIKUT jadual Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin bergelar Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agong UMNO yang akan berlangsung pada 25 Mac ini. Persoalannya, adakah Datuk Seri Najib akan ditabal menjadi Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri Malaysia?

Lama sebelum ini kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan menjadi Perdana Menteri. Suara-suara ini telah sampai ke teliga para wartawan sehingga para wartawan sering mengemukakan soalan mengenai itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Sebagai pemerhati politik saya sering meneliti perkembangan politik dan cuba mencari jawapan kepada persoalan ini. Perkembangan mutakhir politik hari ini nampaknya telah menuju kearah itu. Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi cabaran yang cukup getir untuk ditabal Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Bermula dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak cuba menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak sebaik saja dilantikan menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Perak menampakkan kerakusannya. Beliau telah menghalalkan cara bagi mencapai tujuannya. Ramai yang berpendapatan Datuk Seri Najib silap bersongkokol dengan dua ADUN KeADILan di Perak yang sedang menghadapi tuduhan rasuah untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak. Tindakan itu telah mencemarkan nama beliau yang memang sudah tidak kelihatan bersih di mata rakyat.

Setelah berjaya mempengaruhi dua ADUN KeADILan dan seorang ADUN DAP Datuk Seri Najib terus mengadap Sultan Perak dan melantik Datuk Zamri Abd Kadir sebagai Menteri Besar baru Perak sedangkan Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin masih sah menjadi Menteri Besar Perak dan Speaker DUN mengeluarkan surat letak jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut.

Berdasarkan perlembagaan negeri Perak Sultan tidak boleh memecat Menteri Besar dan memang sehingga kini Sultan Perak tidak pernah bertitah memecat Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin sebaliknya meminta Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk meletak jawatan. Ramai pemerhati dan penganalisa politik seperti Prof. Dr. Abdul Aziz Bari pensyarah falkulti undang-undang di UIAM berpendapat bahawa Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.

Jadi tindakan Datuk Seri Najib dalam soal ini telah mencetuskan isu perlembagaan yang hebat di Perak. Pelbagai perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah terjadi di Perak malah isu ini menyebabkan rakyat kebanyakan telah hilang hormat dan kepercayaan kepada Sultan Perak yang sebelum ini memang ramai menghormatinya kerana baginda merupakan satu-satunya Sultan yang berpendidikan tinggi di negara ini.

Isu ini bukan menaikan nama Datuk Seri Najib sebaliknya merosakan reputasi beliau yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan Negara. Orang banyak melihat betapa rakusnya Datuk Seri Najib sanggup melakukan apa saja bagi mencapai tujuannya. Rata-rata berkata, itu belum lagi menjadi Perdana Menteri dan ramai tidak dapat membayangkan bagaimana kalau beliau menjadi Perdana Menteri.

Sebaik isu lompat ini dibicarakan muncul Ketua KeADILan Ipoh Barat, Fauzi Muda telah melemparkan dakwaan yang beliau cuba disogok oleh Datuk Seri Najib sebanyak RM50 juta untuk menarik wakil rakyat pembangkang khususnya daripada PKR untuk meninggalkan parti itu dan kesannya Kerajaan Pakatan Rakyat akan tumbang.

Dakwaan itu mati begitu saja dan baru-baru ini sekali lagi Ketua KeADILan Ipoh Barat muncul dengan mencabar polis menyeretnya ke mahkamah agar dapat mendedahkan butiran dakwaan percubaan Datuk Seri Najib Razak merasuah wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk melompat parti bagi menjatuhkan kerajaan Perak."Saya bersedia untuk ke mahkamah di mana saya akan berpeluang mendedahkan semua bukti yang saya ada termasuk rakaman tentang perbualan dan perbincangan saya tentang isu membeli Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan yang diusahakan oleh Najib," kata ketua bahagian PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda."Saya mendesak polis agar segera mendakwa saya di mahkamah adalah kerana saya tahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis pasti tidak akan mendakwa Datuk Seri Najib di mahkamah terhadap apa yang telah saya laporkan."Jadi jika mereka mendakwa saya, itulah saja jalan yang terbaik untuk saya berdepan dengan Najib di mahkamah dan mendedahkan segala bukti-bukti yang ada pada saya terhadap rasuah dan pembelian Adun yang melompat parti dan menyokong BN." Katanya sepertimana dilapor oleh Malaysiakini.

Malaysiakini juga telah menghubungi bekas timbalan menteri pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin mengesahkan memang ada pertemuan antara Najib dengan Fauzi pada 11 Mac tahun lalu seperti didakwa.Beliau - yang turut dinamakan dalam akuan berkanun Fauzi - bagaimanapun tidak mengetahui butiran perbincangan antara pemimpin PKR itu dengan timbalan presiden Umno.Menurut Zainal lagi, perbincangan itu diadakan di tempat terbuka di kediaman rasmi Najib - waktu itu menteri pertahanan - tetapi tidak mendengar perbualan Fauzi itu kerana terdapat ramai orang di situ.
Zainal juga mengakui beliau menaiki kereta yang sama dengan Fauzi dan seorang rakannya Sulaiman Mansor, yang juga seorangan rakan Fauzi.Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak mengenali Fauzi dan tidak mengetahui bahawa Fauzi seorang pemimpin PKR.
Dakwaan yang dibuat oleh Fauzi Muda ini memang serius dan boleh merosakan reputasi Timbalan Perdana Menteri yang bakal ditabal menjadi Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat ini. Persoalannya mengapa sehingga kini pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) masih mendiamkan diri dan tidak mendakwa Fauzi?

Ketika kes pembicaraan Altantuya Shaaribuu menuju keperingkat akhir tiba-tiba akhbar perancis “Liberation French” tulisan Arnaub Dubus malah pendedahan laporan soal siasat polis telah membongkar banyak perkara mengenai pembunuhan Altantuya, disaat Datuk Seri Najib bakal ditabalkan menjadi pemimpin nombor wahid negara ini. Memang sejak kes ini muncul dikhalayak dan melibatkan penganalisa politik yang juga rakan Datuk Seri Najib, Razak Baginda menimbulkan pelbagai persoalan. Lebih-lebih lagi kematian Altantuya Shaaribuu yang diletupkan menggunakan bahan letupan milik pihak berkuasa.

Sedang UMNO sedang bersiap untuk mengadakan Perhimpunan Agongnya dan dijangka peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tiba-tiba muncul pula Ahli UMNO Bahagian Subang, Datuk Mazlan Harun dan Ketua UMNO Cawangan Bandar Muar, Datuk Kadar Ninam Shah bercadang untuk mengambil injuksi mahkamah bagi menghalang perhimpunan itu diteruskan kerana pucuk pimpinan UMNO tidak menyelesaikan kes salah laku dan politik wang sebelum pemilihan UMNO.

Berdasarkan apa yang sedang berlaku diyakini Datuk Seri Najib menghadapi masalah untuk menjawat jawatan tertinggi politik negara pada waktu ini. Bagi memelihara imej UMNO yang buat pertama kalinya hilang majoriti dua pertiga dalam pilihanraya lepas maka disarankan Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi tidak boleh melepaskan jawatan Perdana Menteri hatta Presiden UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selasa, 17 Februari 2009

KRISIS PERLEMBAGAAN PERAK

ISU DUA MB BKTI KERAKUSAN PEMIMPIN UMNO

NAMPAKNYA BN khususnya UMNO benar-benar berada dalam suasana tekanan. Selepas Pilihanraya Umum ke-12 di mana buat pertama kalinya Kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO hilang penguasaan majoriti dua pertiga di parlimen.

Menambah derita BN gagal menawan Kelantan walaupun sebelum pilihanraya di wawarkan mampu menjatuhkan kerajaan Kelantan yang dikuasai oleh PAS. Bukan saja gagal menawan Kelantan malah BN telah hilang penguasaan di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Apabila menghadapi pilhanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dan juga Parlimen Kuala Terengganu, BN yang di ketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengarah Pilihanraya telah menggunakan seluruh jentera kerajaan namun rakyat sekali lagi memberitahu BN khususnya UMNO bahawa majoriti rakyat sudah tidak berminat untuk memberikan sokongan kepada BN.

Kekalahan dalam dua pilihanraya parlimen ini bukan saja memberikan tekanan kepada BN dan UMNO malah Datuk Seri Najib yang menjadi Pengarah Pilihanraya dan bakal mengambil-alih teraju kepimpinan negara.
Mungkin Datuk Seri Najib merasakan bagi memulihkan reputasinya yang sedikit tercalar dan baru dilantik senbagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perak ada melihat ruang untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak bermoral.

Beliau telah bertindak dengan caranya dan Pakatan Rakyat juga bertindak dengan cara mereka, akibatnya kini Perak mempunyai dua Menteri Besar. Tindakan Datuk Seri Najib ini sebenarnya bukan berjaya memulihkan imejnya malah menambahkan kesan yang tidak baik kepada dirinya.

Tindakannya bukan saja menimbulkan kemarahan rakyat khususnya di negeri Perak malah seluruh masyarakat malaysia. Malah Tun Dr. mahathir yang sautu ketika dulu menyokong kuat Datuk Seri Najib untuk mengambil teraju kepimpinan negara juga tidak senang dengan tindakan itu.

Begitu juga dengan Tengku Razaleigh Hamzah juga mempertikaikan tindakan itu malah Tengku Razaleigh menyifatkan tindakan itu akan menjauhkan lagi rakyat daripada UMNO.

Memang tindakan Datuk Seri Najib bukan saja merosakkan reputasinya senbagai bakal Perdana Menteri malah menyebabkan rakyat kebanyakan bertambah meluat dengan UMNO. rata-rata rakyat diperingkat akar UMNO melihat UMNO begi ego, sombong dan rakus malah sanggup melakukan apa saja untuk terus berkuasa.

Media arus perdana seringkali menipu rakyat kebanyakkan dan para pemimpin yang mereka puja dengan memaparkan cerita-cerita sokongan rakyat terhadap apa saja tindakan mereka. Laporan mereka yang memprotes tindakan para pemimpin UMNO langsung tiudak diberi liputan. Lantaran itu para pemimpim UMNO terus terlena dan hanyut dengan pandangan yang diberikan oleh pihak media.

Percayalah rata-rata majoriti rakyat kini sudah semakin meluat dengan sikap dan tindak-tanduk pemimpin UMNO. JIka para poemimpin UMNO terus dengan sikap dan budaya ini tunggu dan lihatlah sokongan kepada BN khususnya UMNO semakin berkurangan, kita boleh lihat keputusan tiga pilihanraya kecil yang bakal di adakan tidak lama lagi.

Bagaimana keputusan Pilihanraya Parlimen Bukit Gantang, Dun Bukit Selambau dan yang terbaru di Bukit Lanjan. Jika BN terus kalah maka akuilah hakikat yang BN khususnya UMNO semakin hampir di dikapankan oleh rakyat.






Jumaat, 7 November 2008

UMNO BUKIT MERTAJAM CABAR TENG HOCK NAN
BUKIT MERTAJAM: UMNO bahagian Bukit Mertajam menyelar kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan berhubung kenyataan beliau yang ingin melihat perkembangan bagi menjalin semula hubbungan dengan UMNO.

Ketuanya Senator Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzir berkata, Pengerusi Gerakan harus mencerminkan muka dia dulu. Kalau Gerakan hendak putus terus pun hubungan dengan dengan UMNO, UMNO tidak ada masalah. UMNO tidak akan rugi apa-apa.

“Dulu bukan kita yang jadi Ketua Menteri. Suatu ketika apabila banyak kerusi parti-parti komponen kalah termasuk Gerakan dan UMNO telah memang di semua kerusi, UMNO masih memberi peluang kepada Gerakan untuk mengetaui negeri ini.”

“Pergilah cari di seluruh dunia kalau dapat kalau Gerakan boleh cari rakan politik macam ni. Akhirnya mereka boleh kata kita pendatang. Bila kita bercakap soal ketuanan melayu mereka kata kita perkauman macam Datuk Ahmad Ismail yang telah digantung oleh UMNO selama tiga tahun.”


YB. Senator Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzir begitu lantang mengkritik Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan. Beliau kecewa dengan tindak tanduk kepimpinan Gerakan Negeri Pulau Pinang.


“Saya mahu kepimpinan UMNO pusat sepaya mengambil tindakan keras kepada Ketua Wanita Gerakan yang melebel orang melayu sebagai pendatang. Pemimpin tertinggi UMNO harus sedar dan perlu berani bertindak dan jangan tunduk dengan sikap parti komponen seperti ini.” Ucap Datuk Musa semasa merasmikan Persidangan Agung Pemuda UMNO bahagian Bukit Mertajam.

Menurut Datuk Musa, sikap tolak ansur dan berlembut yang keterlaluan menyebabkan rakan-rakan parti komponen bertambah berani. Jika dibiarkan terus begini satu hari nanti kita hendak pakai baju melayu dan songkok pun tidak boleh.

Dalam ucapan perasmian persidangan tersebut yang berlangsung di Hotel Summit Bukit Mertajam, Datuk Musa juga kesal dengan sikap segelintir pimpinan tertinggi UMNO yang terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk membuat peralihan kuasa walaupun pada awalnya telah ditetapkan pada bulan Jun 2010.

“Akibat desakan demi desakan oleh segelintir pimpinan tertinggi yang gilakan kuasa Perdana Menteri terpaksa akur dan akan membuat peralihan kuasa pada bulan Mac. Selepas keputusan diumum bunyi pula bulan Mac lewat dan peralihan kuasa perlu dibuat pada bulan Disember.”

“Siapa yang membuat keputusan itu, bukankah keputusan itu dibincang dalam mesyuarat MKT tiba-tiba lepas mesyuarat dan keputusan diumum gendang lain pula yang di palu. Kalau macam ni sikap kepimpinan tertinggi kita yang langsung tidak konsistan macam mana nak pimpinan Negara.”

“Inilah sikitol-sikitol UMNO termasuk labu dan labi. Kalau dulu hanya satu sikitol saja yang Berjaya menghancurkan Melaka. Kini dalam UMNO muncul begitu banyak sikitol, ada kitol muda dan ada kitol tua yang hanya fakir hendak jawatan saja. Apa nak jadi dengan UMNO? Apa nak jadi dengan Melayu?”

“Sebulan dua kali MKT bermesyuarat bukannya nak bincang bagaimana hendak bagunkan ekonomi orang melayu. Macam mana nak menangkatkan martabat orang melayu dan bagaimana nak perkasakan UMNO. Sebulan dua kali buat mesyuarat semata-mata hendak bincang soal peralihan kuasa yang telah lama diputuskan.” Ujar Datuk Musa dihadapan kira-kira 150 orang hadirin.

Datuk Teng Hock Nan, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang menjadi sasaran UMNO Bukit Mertajam. Datuk Musa meminta beliau mencerminkan dirinya dulu sebelum bercakap mengenai hubungan Gerakan dengan UMNO di Pulau Pinang.

Seterusnya Datuk Musa memberitahu bahawa UMNO bahagian Bukit Mertajam akan membuat keputusan sendiri dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO yang bakal diadakan pada 26hb nanti.

“Tunggu dan lihat kita ada pendirian sendiri dan kita ada prinsip. Kita bukannya macam pemimpin lain yang dengar sesaorang pemimpin itu nak kalah atau nak turun lari lintang pukang tinggalkan dia sendirian.”

“Inilah jenis pemimpin dayus, derhaka dan boleh merosakan bangsa.” Katanya.

Dalam persidangan itu juga telah menyaksikan kesemua jawatan telah menang tanpa bertanding kecuali wakil Pemuda UMNO ke Persidagnan Pemuda UMNO Malaysia dan pencalonan untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang menyaksikan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaludin Berjaya mengalahan Datuk Mukriz dengan kelebihan undi.

Dipersidangan itu juga Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam telah meluluskan usul sebulan suara agar pucuk pimpinan BN dan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Wanita Gearakan yang mendakwa orang melayu adalah kaun pendatang.

“Kenapa kita tidak boleh ambil tindakan sedangkan Datuk mAhmad Ismail yang mengeluarkan kenyataan sedemikian telah digantung keahlian dalam UMNO selama tiga tahun.” Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang bakal meninggalkan pemuda dan telah diistiharkan menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian Bukit Mertajam untuk penggal depan.