Ahad, 22 Jun 2008

ISU SEMASA

MELAYU PERLU KUAT

RAJA Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah baangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya kita terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyemberangi lautan yang luas.

Titah baginda, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagai berdagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di negeri sendiri.

“Anak bangsa yang telah Berjaya, janganlah berperagai seperti si Tenggang, bersikap angkuh, bongkak hingga melupakan asal keturunan dan sanggup memisahkan diri dari akar bangsanya menjadi rakus, gopoh hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung.” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah, Maktab Melayu Kuala Kangsar baru-baru ini sepertimana yang tersiar di Mingguan Malaysia muka depan.

Saya bersetuju seratus satu persen saranan baginda Raja Muda Perak itu, tapi persoalannya apabila pohon tempat kita berteduh itu langsung tidak berbuah. Pohon itu dipenuhi kerangga dan di pucuk pohon itu dipenuhi burung gagak yang selalunya membuang najis atas kepala kita, bagaimana kita nak bernaung di bawah pohon seumpama itu.

Kita sudah berteduh lebih lima puluh tahun di bawah pohon itu. Buah yang dikeluarkan oleh pohon itu lazimnya disapu oleh burung dan mungkin monyet dan beruk dan hanya menendang jatuh untuk kita yang berada di bawah yang busuk atau pun yang telah ditebuk tupai.

Kita dibawah pohon merayu agar mereka yang berada di atas pohon itu memberikan kita buah yang baik tapi langsung tidak dipedulikan. Mungkin pada jangkaan mereka apa yang boleh kami dibawah buat. Peduli apa suara dan rintihan mereka yang bernuang dibawah pohon ini, yang penting perut kita yang di atas buncit bagaikan busut kerana kekenyangan dan kantung kita tidak pernah kering.

Inilah yang berlaku apabila rakyat khususnya orang melayu bernaung demikian lama di bawah pohon yang dinamakan UMNO. Dibawah kekuasaan orang melayu hak dan keistimewaan orang melayu satu demi satu ditarik balik. Misalnya biasiswa kepada anak-anak melayu melanjutkanpelajaran ke IPTA telah diganti dengan pinjaman PTTPN. Kemasukan pelajar ke IPTA tidak lagi berdasarkan kuota sebaliknya meritrokrasi memang pada waktu ini kuasa berada ditangan kita kita boleh mengabui mata orang lain. Saya yakin pada hakikatnya bedasarkan meritrokrasi yang jujur dilaksanakan tak berapa kerat pelajar melayu yang akan menjejakkan kaki di IPTA.

Kita berbangga sebagai bangsa melayu dan pemerintah kita juga orang melayu tetapi mereka yang bergelar penguasa telah membunuh bahasa melayu daripada menjadi bahasa ilmu apabila mereka menukar bahasa pengantar untuk mata pelajaran sains dan mathematic dalam bahasa inggeris. Jika kita orang melayu tidak menghormati dan mengangkat martabat bahasa kita kepada siapa hendak kita harapkan.

Peluang-peluang tempat pengajian yang dulunya dikhususkan untuk orang melayu seperti UITM dan Kolej Maktab Rendah Sains MARA telah dibuka sepuluh peratus kepada orang lain. Siapa yang melaksanakan dasar ini kalau bukan pemimpin UMNO yang telah lima puluh tahun rakyat khususnya orang melayu bernaung?

Suara-suara dan rintihan orang melayu di bawah pohon UMNO tidak pernah dipedulikan. Orang melayu di bawah pohon UMNO memang telah lama berdagang dan bermusafir di tanahair sendiri. Kita lihat pencapaian ekonomi dulunya kita berada ditempat kedua tapi kita orang melayu berada di tempat ketiga di belakang kaum India.

Dulunya orang melayu di bawah tidak pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana kerja itu dimonopoli oleh kaum sikh tapi kini kerja itu telah menjadi milik anak bangsa. Dulunya orang melayu sukar dilihat menjadi buruh majlis perbandaran yang menyapu dan mengutip sapah kerana di monopoli oleh kaum India tapi hari ini semua itu dikerjakan oleh orang melayu. Dan dulunya kerja angkut najis dengan tong dibuat oleh kaum Cina tapi hari ini kerja angkut najis di buat oleh orang melayu Cuma caranya berbeda. Inikah hadiah pohon UMNO kepada orang melayu khususnya yang memberikan kuasa kepada mereka memerintah Negara lebih 50 tahun.

Kini orang melayu diperingkat akar umbi merintih dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan lain, adakah mereka yang berada di atas tahu dan sedar akan nasib anak bangsa sendiri yang terkial-kial mencari sesuap nasi. Kenapa di Negara-negara pengeluar minyak OPEC harganya jauh lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan kita. Kita adalah pengeluar minyak walaupun bukan anggota OPEC, tak bolehkah sebahagian daripada minyak yang dikeluarkan dijual kepada rakyat sendiri dengan harga murah dan minyak yang di jual kepada negara lain dengan harga pasaran?

Dan mereka yang berada di atas pohon UMNO langsung tidak melihat dan memerhatikan apa yang berlaku di bawah dan mereka mengharapkan orang yang berada di bawah pohon itu hanya mendengar apa yang mereka cakap dan memakan apa yang mereka buang. Kalau macam inilah sikap mereka rasanya tidak salah orang yang bernaung di bawah pohon itu menebang pokok itu.

Jadi sebelum orang yang berada di bawah pohon itu menebang pokok itu maka mereka yang boleh bersuara dan bersuaralah kepada mereka yang berada di atas supaya mengubah sikap dan melihat akan kebajikan dan keperluan mereka yang bernaung di bawah mereka. Jika mereka benar-benar melaksanakan tanggungjawab ini tidak ada sesiapa yang akan menebang pokok di mana mereka boleh bernaung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan