Selasa, 21 April 2009

ISU SEMASA

KALAU AKU JADI TUN ABDULLAH
PERKEMBANGAN politik negara semakin teruk. Orang yang gila kuasa sanggup lakukan apa saja untuk mencapai cita-cita politik mereka. Akibatnya rakyat banyak yang melihat mula jelak dengan sikap dan perlakuan para pemimpin yang telah lama diberikan kuasa untuk mentadbir negara ini.

Mereka langsung tidak memikirkan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat. Tindakan mereka hanya mementingkan kedudukan mereka saja. Lihat apa jadi kepada orang melayu selepas lebih 50 tahun majoriti rakyat khususnya orang melayu memberikan kepercayaan kepada mereka?

Kalau dulu kerja pengawal keselamatan banyak dimonopoli oleh golongan sikh, orang India kerjanya menjadi buruh JKR, Perbandaran dan pekerja ladang dan hanya orang cina yang di lihat menganggkut najis. Tapi selepas lebih 50 tahun orang melayu memberikan kepercayaan kepada pemimpin melayu daripada UMNO kerja-kerja yang dinyatakan tadi yang tidak pernah dibuat dulu terpaksa dilakukan oleh orang melayu. Inikah hadiah istimewa yang diberikan oleh para pemimpin melayu UMNO kepada orang melayu.

Pemimpin melayu daripada UMNO juga sanggup melanggar akta pendidikan selaras dengan perlembagaan negara dengan mengenepikan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran Sains dan Matematiks. Kalau kita orang melayu tidak mahu memertabatkan bahasa sendiri kita nak harapkan siapa untuk memertabatkannya?

Jangan menipu rakyat dengan mengadakan pelbagai alasan khususnya atas nama kemajuan global. Negera Jepun, Korea Selatan, Jerman, Thailand malah banyak lagi negara yang mengutamakan dasar pendidikan dengan bahasa ibunda mereka tapi negara mereka jauh lebih maju dan berjaya daripada orang USA atau British sendiri.

Orang-orang surat khabar arus perdana yang seringkali menyiarkan berita-berita ini dan menyokong tindakan para pemimpin melayu yang diberikan kepercayaan oleh orang melayu lupa, jika bahasa inggeris benar-benar mengambil tempat maka suatu hari nanti institusi yang mereka bangga-banggakan dan tempat mereka mencari rezeki juga akan berkubur seperti mana terkuburnya Utusan Melayu.

Utusan Melayu terpaksa gulung tikar kerana majoriti orang-orang melayu sendiri sudah buta bahasa jawi akibat kerajaan BN yang dikuasai oleh UMNO dan diberikan kepercayaan oleh orang melayu telah membuang mata pelajaran bahasa jawi daripada sisitem pembelajaran di sekolah-sekolah. Ingat! Sejarah selalunya akan berulang, cuma bentuknya saja yang berubah maka jangan terkejut Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Kosmo dan banyak lagi akhbar dan majalah berbahasa melayu akan gulung tikar.

Siapakah pula yang bertanggungjawab menarik balik pemberian biasiswa kepada pelajar melayu yang berjaya menlanjutkan pelajaran di IPTA dan digantikan dengan pinjaman. Pemimipin melayu daripada UMNO yang mana majoriti orang melayu memberikan kepercayaan tapi inilah hadiah yang mereka berikan kepada orang melayu.

Ketika krisis politik berlau di Perak rata-rata-rata pemimpin UMNO melemparkan pelbagai tuduhan kepada pemimpin Pakatan Rakyat dan dikatakan derhaka kepada Raja. Hakikatnya siapa yang menderhaka? Siapa yang menghapuskan kekebalan Raja-Raja melayu kalau bukan UMNO. Oleh kerana kekebalan Raja telah dihapus telah mendedahkan Raja-Raja melayu juga di saman. Hakikatnya di sini siapa yang menderhaka BN yang diterajui oleh UMNO atau Pakatan Rakyat?

Sedarlah wahai pemimpin melayu UMNO yang masih ada saki baki kuasa ditangan, orang melayu sudah mula hilang kepercayaan kepada pemimpin UMNO. Orang melayu sudah meluat dengan gelagat pemimpin UMNO. Orang melayu sudah tidak boleh dipermain dan diberikan jaminan palsu. Orang melayu sudah celik. Sebab itu akhir-akhir ini BN khususnya UMNO seringkali tewas dalam pilihanraya kecil hatta kawasan seperti Bukit Gantang yang memang pernah menjadi kubu kuat UMNO dulu juga boleh tersungkur.

Menyedari hakikat ini dan jika akulah yang menjadi Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi bekad Perdana Menteri ke-5 maka aku dengan rela dan senang hati melepaskan jawatan Ahli Parlimen Kepala Batas. Pertama kerana BN khususnya UMNO sedang menghadapi krisis keyakinan rakyat yang bukan kecil. Nampaknya apa saja yang dibuat oleh pemimpin UMNO, sudah gagal menambat hati rakyat bawahan.

Kedua Tun Abdullah sendiri dengan rela hati pernah berkata akan melepaskan jawatan pada bulan Jun. Tapi hulubalang-hulubalang Datuk Seri Najib khususnya Tan Sri Mahyudin Yasin telah mendesak sehingga hilang rasa hormat menyebabkan Tun Abdullah terpaksa membawa kepada bulan Mac lepas. Selepas diumumkan pada bulan Mac bunyi lagi suara yang mahu Tun Abdullah pergi pada bulan Disember.

Ketiga, sebaik saja Tun Abdullah melepaskan jawatan Perdana Menteri, mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir dengan rasa bangganya bersalaman dengan Datuk Seri Najib memasuki semula UMNO. Walaupun hakikatnya memang Tun Dr. Mahathir cuba menyakiti hati Tun Abdullah tetapi tak bolehkah Datuk Seri Najib menangguhkan sebentar acara itu untuk beberapa minggu bagi menghormati dan menghargai Tun Abdullah.

Keempat, menantu Tun Abdullah, Khairy Jamaludin atau lebih terkenal dengan nama KJ telah berjaya mengalahkan Datuk Seri Khir Toyo dan anak mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir, dao' Mukriz dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Tapi menantu Tun Abdullah yang menang dipinggirkan begitu saja daripada menyertai kabinet pertama Datuk Seri Najib sebaliknya Datuk Seri Najib melantik anak Tun Dr. Mahathir yang kalah. Datuk Seri Najib juga melantik Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia menjadi Timbalan Menteri. Apa ertinya semua ini?

Memang Datuk Seri Najib berhak untuk melantik sesiapa saja yang dikehendakinya tapi jika beliau ingin meminggirkan menantu Tun Abdullah maka sebaiknya dia juga jangan melantik anak Tun Dr. Mahathir yang kalah dan Naib Ketua Penmuda UMNO Malaysia daripada menyertai kabinetnya. Walaupun kita meluat dan benci macam mana sekalipun maka hormatilah ahli pemuda UMNO yang telah memberikan kepercayaan kepadanya.

Jadi sekali lagi, atas semua alasan tadi jika aku jadi Tun Abdullah maka aku akan melepaskan jawapan Ahli Parlimen Kepala Batas kerana aku memang sudah tidak diperlukan lagi. Untuk apa aku melukut ditepi gantang sedangkan aku sudah pernah berada di puncak kekuasaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan